fb fb fb fb fb

Aria Putera akhiri kontrak perkhidmatan Presiden, CEO SME Bank

Datuk Dr Aria Putera Ismail

KUALA LUMPUR, 28 Julai - SME Bank mengumumkan Datuk Dr Aria Putera Ismail akan mengakhiri kontrak perkhidmatannya sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan bank itu.

Melalui kenyataan hari ini, SME memaklumkan, Aria Putera akan meninggalkan organisasi itu setelah tamat tempoh perkhidmatannya untuk mengejar peluang baharu.

Sepanjang enam tahun kepimpinannya, beliau telah membuka laluan kepada SME Bank untuk memenuhi mandat dalam menyokong dan membangunkan PKS di Malaysia.

Insititusi bank itu merakamkan penghargaan kepada Aria Putera atas kepimpinannya yang luar biasa.

"Beliau memperkenalkan Pelan Percepatan Dua Tahun, satu pelan strategik untuk merombak perniagaan SME Bank yang mengandungi 27 inisiatif yang memfokuskan pada matlamat pembangunan lestari, kualiti aset, ekosistem PKS yang komprehensif, pendigitalan serta pembangunan bakat selain mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM213.9 juta pada 2019.

"Sehubungan dengan itu, SME Bank telah menunjukkan peningkatan yang luar biasa dalam kualiti aset dan pertumbuhan pembiayaan sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.

"Jumlah pembiayaan kasar SME Bank mencatatkan pertumbuhan 37.6 peratus daripada RM6.47 bilion pada 2018 kepada RM8.9 bilion pada akhir 2023, manakala kadar kemerosotan kasar berkurangan kepada 12.5 peratus daripada 22.9 peratus," katanya.

Sementara itu, Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim diumumkan sebagai pemangku Presiden/CEO bermula pada 3 September ini.

Mohammad Hardee kini menjawat jawatan Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank dan mempunyai lebih dari 20 tahun pengalaman dalam industry perkhidmatan kewangan, dengan kepakaran dalam perbankan perniagaan dan pengurusan strategik.

GRACE AISYAH KEDAYAN