KUALA LUMPUR, 20 Julai - Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa (ARCHIDEX) 2025 dijangka mencatatkan nilai transaksi sebanyak RM2 bilion, meningkat berbanding RM1.1 bilion yang direkodkan tahun lalu.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, sasaran tersebut berdasarkan keyakinan terhadap prestasi kukuh penganjuran edisi terdahulu yang berlangsung selama empat hari.
Katanya, pameran tahun ini akan diadakan di dua lokasi iaitu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bermula 21 hingga 24 Julai serta di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dari 23 hingga 26 Julai.
“Tahun ini, kita bukan sahaja anjurkan Archidex di dua lokasi serentak iaitu KLCC dan MITEC, tetapi turut menghimpunkan lebih 50,000 pengunjung dari 109 negara.
Maka, kita optimis sasaran RM2 bilion transaksi dapat dicapai,” katanya selepas melancarkan Minggu Seni Bina Kuala Lumpur 2025 (KLAW 2025) di sini, hari ini.
Tambahnya, penganjuran KLAW 2025 buat julung kali di bawah ARCHIDEX 2025, bertujuan mengangkat seni bina ke ruang awam dengan mengetengahkan elemen warisan, rekaan dan komuniti.
Penganjuran KLAW 2025 turut menerima peruntukan khas sebanyak RM30,000 kepada Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) sebagai sokongan kerajaan dalam menjayakan inisiatif ini, termasuk pembangunan pemasangan seni bina awam dan aktiviti komuniti yang melibatkan arkitek muda serta peniaga tempatan.