fb fb fb fb fb

Amal by Malaysia Airline jalin kerjasama strategik bersama 13 agensi umrah

Perkukuh komitmen sediakan perkhidmatan boleh dipercayai

PUTRAJAYA, 15 MEI - Amal by Malaysia Airline, cabang penerbangan haji dan umrah Malaysia Aviation Group (MAG) jalin kerjasama strategik bersama 13 agensi umrah untuk musim umrah 1447 Hijrah.

Ketua Pegawai Operasi Amal by Malaysia Airlines, Muhammad Najmi Mansor berkata, kolaborasi strategik dengan agensi berlesen bertujuan mengukuhkan komitmen pihaknya untuk menyediakan perkhidmatan yang boleh dipercayai dan berkualiti tinggi.

Sementara itu, penambahan rakan strategik umrah setiap tahun merupakan langkah penting dalam memperluaskan pasaran menerusi kerjasama yang lebih erat dan kukuh.

''Kita bermula dengan empat agensi, kemudian lapan dan seterusnya meningkat kepada 10 tahun lepas. Tahun ini mengikut permintaan terdapat 20 agensi, namun berdasarkan penilaian dan kriteria kami mengurangkannya kepada 13 agensi,'' katanya selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Amal dengan 13 agensi umrah, hari ini.

Sepanjang 2024, syarikat tersebut telah menerbangkan 180,000 jemaah dengan empat penerbangan harian.

Untuk musim umrah akan datang, kapasiti penerbangan dijangka meningkat antara 20 hingga 30 peratus dengan lebih 200 ribu tempat duduk ditawarkan.

NUR MOHD IQWAN BIN SAMSUDIN