fb fb fb fb fb

AirAsia tingkat kekerapan, tambah laluan penerbangan baharu ke India

Riad Asmat (dua dari kanan) pada Majlis Pelancaran Perjalanan Tanpa Visa Untuk Warga India ke Malaysia Bersama AirAsia

KUALA LUMPUR, 15 Disember- Syarikat penerbangan AirAsia akan meningkatkan kekerapan selain menambah laluan penerbangan baharu ke India bermula suku pertama tahun hadapan.

Ia selaras langkah pengecualian visa selama 30 hari untuk pengembara warga China dan India, mulai 1 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, syarikat berhasrat menambah tujuh lagi laluan baharu ke India, berbanding lapan ketika ini.

"Kami akan memperkenalkan penerbangan ke Goa, Vizag, Varanasi dan Guwahati yang dijangka bermula separuh pertama tahun hadapan.

"Namun, yang pastinya dua destinasi yang akan kita tawarkan ialah Thiruvananthapuram and Jaipur,"katanya.

Riad optimis, langkah pengecualian visa akan meningkatkan kesalinghubungan antara kedua negara dan merangsang pertumbuhan sektor penerbangan dan pelancongan.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelancaran perjalanan tanpa visa untuk warga India ke Malaysia bersama AirAsia.

Secara purata, syarikat penerbangan tambang rendah itu menerbangkan sehingga dua juta penumpang dari dan ke negara berkenaan setiap tahun.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE