IPOH, 20 Mac- Pelaburan bagi membangunkan Automotive High-Technology Valley (AHTV) di Proton City, Tanjung Malim berpotensi mengubah landskap kehidupan seharian masyarakat.
Pertumbuhan aliran masuk industri hiliran automotif berteknologi tinggi juga dijangka meningkat selaras dengan perkembangan Revolusi Industri (IR) 4.0.
Pakar Ekonomi, Mohammad Noorizuddin Nooh berkata pelaburan DRB-HICOM bernilai RM32 bilion itu dapat memberi impak positif secara holistik kepada masyarakat dan ekonomi tanpa mengabaikan kelestarian alam sekitar.
"Pelaburan RM32 bilion daripada DRB dapat diterjemahkan kepada peningkatan taraf hidup masyarakat setempat, mewujudkan bandar-bandar satelit , menawarkan peluang pekerjaan sama ada berteknologi tinggi sama ada selaras dgn IR 4.0 dan juga menawarkan pekerjaan-pekerjaan hiliran yang lain," katanya.
(Pakar Ekonomi, Mohammad Noorizuddin Nooh)
Tambah beliau, inisiatif berkenaan turut mengurangkan kadar pengangguran secara drastik.
Selain itu, masyarakat dinasihatkan bersedia untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran dan ilmu baharu mendepani perubahan pantas teknologi terkini.
"Satu demi satu perubahan dari segi teknologi pertama dari digital telah berlaku, kemudian berasakan perubahan fasa ini kita menjangkakan lebih banyak lagi industri berasaskan teknologi akan tumbuh dengan lebih pesat lagi sejajar dengan perkembangan ini," kata Noorizuddin
Beliau mengulas pengumuman Perdana Menteri mengenai pelaburan berkenaan di Tanjung Malim.