fb fb fb fb fb

Aerotrain KLIA jalani pemeriksaan setiap hari, bas ulang-alik ganti perkhidmatan sementara

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 November- Perkhidmatan Aerotren di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akan menjalani kerja-kerja pemeriksaan dan pembaikan bermula dari 12.00 tengah malam sehingga 5.00 pagi setiap hari.

Sepanjang tempoh tersebut, perkhidmatan bas ulang-alik akan beroperasi sepenuhnya bagi memastikan penumpang terus menikmati pengalaman pemindahan yang lancar.

''Langkah ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KLIA untuk mengekalkan ketersambungan lapangan terbang yang selamat, cekap dan selesa,'' menurut hantaran di media sosial KL International Airport.

Pada 31 Oktober lalu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memaklumkan mengenai pelaksanaan pelan tindakan komprehensif bagi menyelesaikan isu kebolehpercayaan membabitkan sistem Aerotren di KLIA.

Perkhidmatan bas ulang-alik akan digunakan semasa waktu luar puncak bagi memudahkan kerja-kerja pemeriksaan tambahan dan pembetulan yang dirancang. 

Sementara itu, dari 5.00 pagi hingga 11.00 malam, perkhidmatan bas ulang-alik akan beroperasi secara serentak dengan Aerotren bagi memastikan pergerakan penumpang tidak terjejas.

EMMI NORALIZA ADNAN