fb fb fb fb fb

AEC 2026-2030 fokus perkukuh ASEAN sebagai kuasa ekonomi global

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Mastura Ahmad Mustafa berkata, rangka Tindakan AEC 2025 sebelum ini berkesan perkasa Ekonomi ASEAN

KUALA LUMPUR, 23 Mei - Pelan Strategik Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) 2026-2030 akan dilancarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 bagi menetapkan hala tuju rantau itu ke arah menjadikan ASEAN sebagai ekonomi keempat terbesar di dunia.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Mastura Ahmad Mustafa berkata, pelan berkenaan merupakan kesinambungan Rangka Tindakan AEC 2025 yang telah menunjukkan hasil positif terhadap pertumbuhan ekonomi ASEAN.

"Bagi Rangka Tindakan AEC 2025, tempohnya telah tamat tahun ini. Justeru, terdapat keperluan untuk ASEAN menghasilkan satu lagi dokumen bagi memberi panduan, hala tuju dan usaha kepada ASEAN untuk menjadikan rantau ini kekal relevan dan terus berkembang pesat,"

"Pada masa sama, kita juga telah menyaksikan Rangka Tindakan AEC 2025 memberi impak positif dengan ASEAN ketika ini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia.

"Sehubungan itu, dengan pelancaran Pelan Strategik AEC 2026-2030, kita harap dapat menyaksikan pula ASEAN sebagai ekonomi keempat terbesar di dunia," katanya selepas menghadiri sesi taklimat awal bersama media mengenai Pelan Strategik AEC 2026-2030 di sini hari ini.

Mengulas mengenai taklimat awal Pelan Strategik AEC 2026-2030, beliau memaklumkan penganjuran bagi membolehkan pengamal media tempatan dan antarabangsa dapat memahami dengan lebih terperinci mengenai pelan itu.

"Taklimat ini merupakan kesinambungan daripada jaringan yang telah kita lakukan bersama media sejak Januari lalu. Menerusinya, kita dapat memperjelaskan lagi usaha-usaha yang sedangkan dilaksanakan ASEAN sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang dipengerusikan Malaysia tahun ini.

"Justeru, kita berharap apabila Pelan Strategik AEC 2026-2030 dilancarkan pada Isnin ini, pengamal media dapat membuat liputan dan ulasan mengenainya dengan lebih baik," menurutnya.

Pelan Strategik AEC 2026-2030 merupakan komponen utama di bawah tonggak ekonomi Visi Komuniti Ekonomi ASEAN 2045, yang turut menjadi tumpuan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.

TUAN MOHAMAD IKRAM BIN TUAN MUHAMAD