KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Penambahbaikan Matriks Kos Dibenarkan (ACM), dapat memacu daya saing dan produktiviti industri di Malaysia.
Menurut Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM), mempermudah akses bagi program pembangunan kemahiran secara berterusan akan memastikan tenaga kerja kekal tangkas dan menyesuaikan diri dengan perubahan.
Pengerusinya, Tan Sri Soh Thian Lai melalui kenyataan berkata, ini akan mendorong kecekapan, kualiti produk lebih baik serta meningkatkan daya saing di peringkat global.
Menerusi ACM, syarikat kini boleh menuntut yuran kursus latihan berdasarkan kadar bagi setiap jam, berbanding struktur setengah hari atau sehari penuh sebelum ini.
Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) turut menaikkan had yuran kursus sehingga RM1,500 sejam atau RM10,500 sehari daripada RM6,000 sehari.
Kesemua perubahan ini membolehkan majikan memanfaatkan program latihan lebih singkat dan khusus atau memerlukan kos tinggi bagi meningkatkan kemahiran pekerja.