fb fb fb fb fb

Yuji Iwasawa dilantik sebagai Presiden baharu ICJ

Yuji Iwasawa diumum sebagai Presiden baharu ICJ/ AFP

THE HAGUE, 3 Mac- Hakim Jepun, Yuji Iwasawa dilantik sebagai Presiden Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang baharu.

Beliau menggantikan Nawaf Salam yang meletak jawatan, susulan pelantikannya sebagai Perdana Menteri Lubnan.

ICJ menerusi kenyataan memaklumkan Iwasawa yang berusia 70 tahun akan mengetuai mahkamah tersebut sehingga 5 Februari 2027. Iwasawa telah menjadi ahli mahkamah tersebut sejak Jun 2018.

Sebelum menyertai ICJ, beliau merupakan Profesor Undang-Undang Antarabangsa di Universiti Tokyo dan Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu.

ICJ juga dikenali sebagai 'mahkamah dunia', berpusat di Istana Keamanan di The Hague menyelesaikan pertikaian antara negara-negara. Ia merupakan mahkamah tertinggi PBB.

ICJ kini sedang menangani beberapa kes berprofil tinggi, termasuk kes yang dibawa oleh Afrika Selatan yang mendakwa Israel melakukan genosid dalam serangan di Gaza dan kes antara Ukraine dan Rusia berhubung pencerobohan Rusia pada 2022.

Selain itu, mahkamah itu sedang menyediakan satu pendapat nasihat mengenai tanggungjawab negara berhubung perubahan iklim.

Presiden mempengerusikan panel 15 hakim memainkan peranan sebahagian besar acara, memberi ucapan bagi pihak mahkamah dan mewakili institusi tersebut di peringkat antarabangsa, serta membaca keputusan-keputusan ICJ.-AFP

ROSLINA BINTI DIN