MAKASSAR, 3 Julai - Seorang wanita ditemui mati di dalam perut ular sawa di tengah Indonesia, kata polis pada Rabu, kematian kedua akibat ular sawa di wilayah itu dalam tempoh sebulan.
Siriati, 36, telah hilang selepas dia keluar dari rumahnya pagi Selasa untuk membeli ubat untuk anaknya yang sakit, kata polis, memaksa saudara-maranya untuk memulakan pencarian.
Suaminya, Adiansa, 30, menemui selipar dan seluarnya di tanah kira-kira 500 meter dari rumah mereka di kampung Siteba, wilayah Sulawesi Selatan.
“Sejurus selepas itu, dia ternampak seekor ular, kira-kira 10 meter dari laluan itu. Ular itu masih hidup,” kata Ketua Polis Wilayah itu, Idul.
Setiausaha kampung, Iyang memberitahu AFP bahawa Adiansa mula curiga selepas dia perasan perut ular sawa itu “sangat besar”.
Dia memanggil orang kampung untuk membantu memotong perut ular sawa tersebut dan mereka menemui mayat Sirianti.
Insiden itu dianggap sangat jarang berlaku, namun beberapa orang telah ditelan ular sawa sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Seorang wanita ditemui mati bulan lalu di dalam perut ular sawa retikulasi di satu lagi daerah di Sulawesi Selatan.
Tahun lalu, penduduk di wilayah itu membunuh seekor ular sawa sepanjang lapan meter, yang ditemui dalam keadaan membelit dan memakan salah seorang petani di sebuah kampung.
Seorang wanita berusia 54 tahun ditemui mati pada 2018 di dalam ular sawa sepanjang tujuh meter di bandar Muna, Sulawesi Tenggara dan pada tahun sebelumnya, seorang petani di Sulawesi Barat hilang sebelum ditemui ditelan seekor ular sawa sepanjang empat meter di ladang kelapa sawit.-AFP