fb fb fb fb fb

UK haramkan penggunaan AI jana imej penderaan seksual kanak-kanak

Foto REUTERS

LONDON,2 Februari- Britain akan menjadikan penggunaan alat kecerdasan buatan (AI) untuk mencipta imej penderaan seksual kanak-kanak sebagai satu jenayah, sekali gus menjadikannya negara pertama di dunia yang memperkenalkan kesalahan baharu berkaitan penderaan seksual AI.

Memiliki, mengambil, membuat, memaparkan atau mengedar imej eksplisit kanak-kanak sudah menjadi satu kesalahan di England dan Wales.

Kesalahan baharu ini menyasarkan penggunaan AI untuk "menelanjangkan" imej sebenar kanak-kanak.

Langkah berkenaan diambil berikutan peningkatan penggunaan AI oleh penjenayah dalam talian untuk mencipta bahan penderaan kanak-kanak, dengan laporan mengenai imej eksplisit meningkat hampir lima kali ganda pada tahun 2024, menurut Yayasan Pemantau Internet.

"Kami tahu bahawa aktiviti pemangsa dalam talian sering membawa kepada penderaan fizikal yang paling mengerikan," kata Menteri Dalam Negeri Britain, Yvette Cooper.

"Adalah penting untuk kita menangani penderaan seksual kanak-kanak dalam talian serta di luar talian bagi melindungi masyarakat daripada jenayah baharu yang semakin berkembang", katanya.

Pemangsa juga menggunakan AI untuk menyembunyikan identiti mereka dan memeras ugut kanak-kanak dengan imej palsu bagi memaksa mereka terjerumus ke dalam penderaan lanjut, seperti penstriman langsung, menurut kerajaan.

Kesalahan jenayah baharu itu turut merangkumi memiliki, mencipta atau mengedar alat AI yang direka untuk menjana bahan penderaan seksual kanak-kanak serta memiliki "manual pedofil" AI, yang memberikan arahan mengenai cara menggunakan teknologi tersebut.

Satu lagi kesalahan khusus turut menyasarkan individu yang menjalankan laman sesawang untuk menyebarkan kandungan penderaan seksual kanak-kanak.

Kerajaan UK juga akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk membuka kunci peranti digital bagi tujuan pemeriksaan.

Langkah-langkah tersebut akan dimasukkan dalam Rang Undang-Undang Jenayah dan Kepolisan apabila dibentangkan di parlimen.

Britain turut mengumumkan awal bulan ini bahawa penciptaan dan perkongsian "deepfake" eksplisit video, gambar atau klip audio yang dihasilkan dengan AI untuk kelihatan nyata juga akan dijadikan kesalahan jenayah.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD