fb fb fb fb fb

Tsunami setinggi tiga meter direkodkan di loji nuklear Jepun selepas gempa bumi

Foto Fail AFP

TOKYO, 10 Januari - Gelombang tsunami setinggi tiga meter (10 kaki) direkodkan namun tidak merosakkan sebuah loji nuklear di Jepun dalam gempa bumi baru-baru ini, kata pengendali loji itu kepada AFP pada Rabu, lebih seminggu selepas kejadian tersebut berlaku.

Pendedahan itu menjadi peringatan mengenai risiko yang berkaitan dengan tenaga nuklear di Jepun 13 tahun selepas tsunami memusnahkan kemudahan Fukushima dalam salah satu bencana atom terburuk di dunia.

Gegaran 7.5 magnitud pada tahun baharu dan gegaran susulanyang kuat mengorbankan sekurang-kurangnya 203 orang di wilayah tengah Ishikawa, memusnahkan tempat tinggal serta infrastruktur dan menyebabkan beribu-ribu penduduk terputus bekalan elektrik.

Tsunami setinggi satu meter direkodkan berhampiran loji Shika sejurus selepas pukul 4:30 petang (0730 GMT) pada 1 Januari, kira-kira 20 minit selepas gempa asal, kata pengendali Syarikat Janakuasa Elektrik, Hokuriku.

"Analisis kami telah menunjukkan bahawa ombak setinggi tiga meter datang kira-kira 17:45," kata jurucakap utiliti itu kepada AFP.

Loji itu berketinggian 11 meter di atas paras laut dan turut dilindungi tembok laut setinggi empat meter yang dibina selepas tragedi Fukushima pada 2011," katanya sambil menekankan keselamatan loji Shika.

Analisis tsunami itu dikeluarkan selepas Hokuriku mengumpul data daripada alat pengukur luar pesisir yang telah berhenti menghantar rekodnya selepas gempa bumi.

Kerosakan kecil dilaporkan berlaku di loji nuklear lain di sepanjang pantai Laut Jepun selepas gempa bumi, termasuk kebocoran saluran air yang digunakan untuk menyejukkan bahan api nuklear dan penutupan kuasa separa di satu loji.

Pengendali loji itu berkata tiada bahaya kerosakan kepada alam sekitar atau stesen janakuasa nuklear itu sendiri.

Jepun, salah sebuah negara paling kerap dilanda gempa bumi telah menghentikan operasi lebih 30 reaktor nuklearnya selepas bencana 2011, namun kira-kira 12 reaktor kini telah kembali beroperasi.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN