fb fb fb fb fb

Trump desak Hamas setuju perjanjian damai sebelum petang Ahad

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump/ REUTERS

WASHINGTON, 3 Oktober - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi amaran keras kepada pejuang Hamas supaya menerima perjanjian damai yang didakwa disokong oleh Amerika Syarikat dan beberapa negara Asia Barat.

Beliau menerusi platform media sosialnya 'Truth Social' menyifatkan ia sebagai peluang terakhir sebelum tindakan ketenteraan dilancarkan.

Trump menggesa Hamas menerima perjanjian damai serta menuntut pembebasan semua tebusan sebelum Ahad, pukul 6.00 petang (waktu Washington).

"Semua negara telah menandatangani! Jika perjanjian peluang terakhir ini tidak dicapai, semua malapetaka seperti belum pernah dilihat sebelum ini, akan tercetus terhadap Hamas. Akan ada keamanan di Asia Barat dengan cara yang satu atau lain. Terima kasih atas perhatian anda!", katanya menerusi Truth Social.

"Kebanyakan yang tinggal kini dikepung dan terperangkap, menunggu arahan saya,‘mulakan,’ untuk nyawa mereka cepat dihapuskan. Bagi yang lain, kami tahu siapa anda dan di mana anda, dan anda akan diburu dan dibunuh", ugutnya.

Trump sebelum ini memberi Hamas tiga hingga empat hari untuk meneliti dokumen 20 perkara yang antaranya menuntut kumpulan itu meletakkan senjata iaitu syarat yang sebelum ini ditolak Hamas.

Pelan berkenaan antara lain merangkumi gencatan senjata, pembebasan tebusan oleh Hamas dalam masa 72 jam, pelucutan senjata kumpulan itu, serta pengunduran beransur-ansur tentera Israel dari Gaza.

Antara perkara yang terkandung dalam pelan damai :

  • Gaza akan dijadikan zon bebas keganasan dan dibangunkan semula demi kesejahteraan penduduk.
  • Israel akan berundur secara berperingkat dengan syarat semua tebusan dibebaskan dalam tempoh 72 jam selepas penerimaan perjanjian.
  • Tebusan yang dibebaskan akan ditukar dengan pembebasan lebih 1,900 tahanan Palestin, termasuk wanita dan kanak-kanak.
  • Anggota Hamas yang melucutkan senjata dan menerima damai diberi pengampunan atau laluan keluar yang selamat.
  • Gaza akan ditadbir oleh jawatankuasa teknokratik sementara dengan pemantauan satu badan antarabangsa baharu yang dipengerusikan Trump.
  • Bantuan kemanusiaan besar-besaran dan pemulihan infrastruktur akan digerakkan segera selepas perjanjian diterima.
  • Gaza akan dilucutkan senjata secara berperingkat di bawah pengawasan antarabangsa.
  • Hamas dan puak lain tidak dibenarkan menyertai pentadbiran baharu.
  • Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) akan mengurus keselamatan dan sempadan bersama pasukan Palestin yang ditapis.
  • Israel akan berundur sepenuhnya selepas ISF mengawal sepenuhnya keselamatan Gaza.
  • Jika Hamas menolak, semua inisiatif akan tetap dilaksanakan di kawasan Gaza yang telah dibebaskan.
  • Dialog antara agama, usaha dialog dan pendidikan akan dilakukan untuk menyemai nilai keamanan.
  • Ke arah negara Palestin, jika pembangunan dan reformasi berjaya, laluan ke arah penubuhan negara Palestin akan dibuka.
  • AS akan mulakan dialog Israel-Palestin bagi capai keamanan dan kerjasama politik.

 

ROSLINA BINTI DIN