WASHINGTON, 20 November- Donald Trump telah mencalonkan Linda McMahon, bekas CEO World Wrestling Entertainment (WWE), pada Selasa untuk mengetuai Jabatan Pendidikan, yang beliau telah ikrar untuk hapuskan sebelum ini.
Trump menggambarkan McMahon sebagai seorang "pejuang hak ibu bapa," dan dalam kenyataan beliau berkata: "Kita akan menyerahkan semula pendidikan kepada negeri-negeri dengan Linda akan mengetuai usaha itu."
McMahon kini merupakan salah seorang pengerusi pasukan peralihan Trump menjelang kembalinya ke White House pada Januari. Pasukan tersebut bertanggungjawab mengisi sekitar 4,000 jawatan dalam kerajaan.
McMahon mempunyai pengalaman selama dua tahun beliau dalam Lembaga Pendidikan Connecticut serta 16 tahun sebagai ahli lembaga pengelola di Sacred Heart University, sebuah sekolah Katolik swasta.
McMahon meninggalkan WWE pada tahun 2009 untuk bertanding kerusi Senat AS, tetapi tewas. Beliau juga merupakan penyumbang utama kepada kempen Trump.
Sejak tahun 2021, McMahon mengetuai Center For The American Worker di Institut Polisi America First, yang sejajar dengan polisi Trump.
Semasa kempen pilihan raya, Trump berjanji untuk menghapuskan Jabatan Pendidikan persekutuan jika kembali ke White House.
"Saya sering berkata begitu. Saya tidak sabar untuk kembali dan melakukannya. Kita akhirnya akan menghapuskan Jabatan Pendidikan persekutuan," katanya dalam satu perhimpunan di Wisconsin pada September.
Dalam Konvensyen Republikan di Milwaukee, McMahon menyatakan beliau "rasa untung, bertuah untuk menganggap Donald Trump sebagai rakan sekerja, bos dan juga kawan."
Hubungan McMahon dengan Trump bermula sejak tahun-tahun beliau dalam industri gusti profesional.
McMahon pertama kali bertemu Trump ketika menjadi Ketua Pegawai Eksekutif WWE. Dalam salah satu plot pertarungan yang dirancang, Trump pernah "body-slam" suaminya, Vince McMahon, seorang promoter gusti terkenal dan mencukur rambut Vince di tengah gelanggang secara siaran langsung.
Pada tahun 2017, McMahon disahkan sebagai ketua Pentadbiran Perniagaan Kecil, yang bertanggungjawab menyokong berjuta-juta perniagaan kecil di Amerika, yang merangkumi separuh daripada tenaga kerja sektor swasta negara itu.
Dalam pencalonannya, Trump menekankan pengalaman McMahon dalam perniagaan, khususnya dalam membangunkan WWE.
Selepas meninggalkan pentadbiran itu, McMahon berkhidmat sebagai pengerusi America First Action SuperPAC, sebuah jawatankuasa tindakan politik pro-Trump.-AFP