fb fb fb fb fb

Trump, Lula bincang perdagangan, ekonomi dan jenayah terancang dalam panggilan telefon

Foto AFP

WASHINGTON, 3 Disember – Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva mengadakan perbualan telefon pada Selasa, dengan kedua-dua pemimpin membincangkan isu perdagangan, ekonomi dan kerjasama menentang jenayah terancang antarabangsa.

Trump memaklumkan bahawa mereka turut menyentuh isu sekatan dipercayai merujuk kepada tindakan pentadbirannya menyasarkan badan kehakiman Brazil berhubung kes jenayah melibatkan bekas presiden Brazil, Jair Bolsonaro.

“Kami mengadakan perbualan yang sangat baik. Kami berbincang tentang perdagangan. Kami bercakap mengenai sekatan, seperti yang anda tahu, saya telah mengenakan sekatan berkaitan beberapa perkara yang telah berlaku,” kata Trump.

Dalam satu hantaran di media sosial selepas itu, Trump berkata beliau menantikan pertemuan dengan Lula dalam masa terdekat dan menambah bahawa “banyak perkara baik akan terhasil daripada kerjasama baharu ini.”

Selain itu, Pejabat Presiden Brazil dalam satu kenyataan berkata Lula menzahirkan penghargaan kepada Trump atas keputusan Amerika Syarikat membatalkan tarif tambahan terhadap beberapa produk Brazil termasuk kopi dan daging lembu.

Bulan lalu, Trump membatalkan tarif 40% yang dikenakan ke atas beberapa produk makanan Brazil seperti koko dan buah-buahan.

Tarif yang diumumkan pada Julai itu dibuat sebagai tindakan balas terhadap pendakwaan ke atas Bolsonaro, yang merupakan sekutu rapat Trump.

Dalam panggilan selama 40 minit itu, Lula turut menekankan keperluan mendesak untuk memperkukuh kerjasama dengan Amerika Syarikat dalam memerangi jenayah terancang antarabangsa.

Perbualan antara kedua-dua pemimpin itu berlangsung ketika Amerika Syarikat meningkatkan kehadiran ketenteraannya di rantau Caribbean, selain tiga bulan operasi serangan terhadap bot-bot yang disyaki terlibat dalam penyeludupan dadah di pesisir Venezuela.-AFP

AMIRULL SHAFFIQ BIN ABDUL GHANI