fb fb fb fb fb

TikTok fail saman larangan aplikasi di Montana

(FOTO AFP)

SAN FRANCISCO, 23 Mei - TikTok memfailkan saman di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Isnin bagi menghalang Montana melaksanakan larangan menyeluruh terhadap penggunaan aplikasi perkongsian video itu.

Menurut saman itu, TikTok mendakwa larangan yang pertama kali dibuat dan dijangka bermula pada 2024 itu melanggar hak kebebasan bersuara yang dilindungi secara Perlembagaan.

"Kami percaya tindakan undang-undang ini akan berjaya berdasarkan kes duluan dan fakta yang kukuh," kata jurucakap TikTok.

Pada 17 Mei lalu, Gabenor Montana, Greg Gianforte menandatangani larangan itu dan meluluskannya sebagai undang-undang.

Menerusi satu kenyataan di Twitter, Gianforte memaklumkan kelulusan larangan itu dibuat bagi 'melindungi data peribadi rakyat Montana daripada Parti Komunis China'.

(FOTO AFP)

Bagaimanapun, TikTok menegaskan langkah luar biasa yang diluluskan di Montana itu hanya berasaskan spekulasi yang tidak berasas.

Minggu lalu, lima pengguna TikTok turut mengemukakan saman bagi menggesa Mahkamah Persekutuan AS membatalkan larangan terhadap aplikasi itu di Montana atas alasan ia melanggar hak kebebasan bersuara milik mereka.

Selain itu, mereka mendakwa Montana cuba menggunakan kuasa keselamatan nasional yang hanya dimiliki pada peringkat kerajaan Persekutuan, dan proses itu melanggar kebebasan bersuara.

Saman TikTok pula menggesa mahkamah persekutuan AS untuk mengisytiharkan larangan Montana terhadap aplikasi itu sebagai tidak berperlembagaan dan menghalang negeri itu daripada menguatkuasakannya.

TikTok dimiliki firma China, ByteDance namun kebanyakan ahli politik AS menuduh syarikat itu dikawal kerajaan China dan aplikasi berkenaan pula digunakan sebagai alat pengintipan tetapi dinafikan syarikat berkenaan.

Larangan di Montana itu akan berkuatkuasa pada 2024 tetapi boleh dielakkan jika TikTok dibeli oleh syarikat berpangkalan di AS sekali gus tidak lagi menjadi milik syarikat asing, seperti mana ditakrifkan di bawah undang-undang AS.

TikTok turut menghadapi masalah sama dengan beberapa kerajaan Barat lain dan sudah diharamkan pada peranti milik kerajaan di AS, Kanada dan beberapa negara Eropah.-AFP

Media Baharu