WASHINGTON, 8 Mei- TikTok dan syarikat induknya dari China, ByteDance memfailkan tuntutan di Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada Selasa.
Perkara itu untuk menghalang undang-undang ditandatangani oleh Presiden AS Joe Biden yang memaksa pelupusan aplikasi berkenaan di negara itu.
Alikasi itu digunakan oleh 170 juta rakyat di Amerika Syarikat.
Undang-undang itu ditandatangani oleh Biden pada 24 April dan memberikan tempoh kepada ByteDance sehingga 19 Januari..
"Buat pertama kali dalam sejarah, kongres telah menggubal undang-undang yang mengenakan larangan kekal di seluruh negara," kata syarikat itu dalam tuntutan mahkamah.
Tuntutan itu berkata pelupusan aplikasi berkenaan "sama sekali tidak mungkin: bukan secara komersial, bukan dari segi teknologi, bukan dari segi undang-undang. Tidak ada persoalan: Akta (undang-undang) akan memaksa penutupan TikTok menjelang 19 Januari 2025.
"Tindakan berkenaan dilihat akan memberi kesan kepada 170 juta rakyat Amerika yang menggunakan platform itu untuk berkomunikasi."
White House berkata ia mahu melihat pemilikan China itu ditamatkan atas alasan keselamatan negara tetapi bukan larangan ke atas TikTok.
Bagaimanapun White House dan Jabatan Kehakiman enggan mengulas mengenai tuntutan mahkamah itu.
Tuntutan itu adalah langkah terbaharu TikTok untuk terus mendahului usaha daripada menutup syarikat aplikasi berkenaan di Amerika Syarikat. Penutupan TikTok dilihat akan memberi peluang kepada Snap dan Meta untuk mengambil alih pengiklanan daripada pesaing mereka.
Perkara itu turut didorong kebimbangan dalam kalangan penggubal undang-undang AS kerana khuatir China boleh mengakses data mengenai rakyat Amerika atau mengintip mereka menggunakan aplikasi berkenaan.
Namun TikTok menafikan aplikasi tersebut digunakan untuk berkongsi data pengguna Amerika selain menuduh penggubal undang-undang negara itu sengaja mewujudkan kebimbangan "spekulatif".
Undang-undang berkenaan turut melarang Apple dan Google daripada terlibat dengan TikTok dan menyekat perkhidmatan menerusi aplikasi itu.
Menurut saman, 58 peratus daripada ByteDance dimiliki oleh pelabur institusi global termasuk BlackRock, General Atlantic dan Susquehanna International Group, 21 peratus dimiliki oleh pengasas China syarikat itu dan 21 peratus dimiliki oleh pekerja termasuk kira-kira 7,000 rakyat Amerika Syarikat.- REUTERS