fb fb fb fb fb

Tiga tentera Lubnan terbunuh ketika operasi menyelamat

Serangan udara Israel telah melanda pinggir bandar selatan Beirut apabila konflik Asia Barat menjadi semakin memuncak/ REUTERS

BEIRUT, 24 Oktober- Tiga tentera Lubnan hari ini terbunuh akibat tembakan Israel ketika menjalankan operasi menyelamat di selatan.

"Musuh Israel menyasarkan anggota tentera Lubnan di sekitar perkampungan Yater, di kawasan Bint Jbeil di selatan, semasa menjalankan operasi untuk memindahkan mangsa yang cedera.

"Ia membawa kepada kematian tiga syuhada, termasuk seorang pegawai,” menurut satu kenyataan tentera.

Setiausaha pertahanan Amerika Syarikat (AS), Lloyd Austin semalam menyatakan "kebimbangan yang mendalam" kepada rakan sejawatannya dari Israel, Yoava Gallant mengenai serangan ke atas tentera Lubnan selepas tiga tentera terbunuh pada hujung minggu.

Tentera Lubnan berkata pada Ahad bahawa serangan Israel telah menyasarkan kenderaan tentera di selatan negara itu, di mana Israel mengatakan ia menggempur kubu kuat Hezbollah yang disokong Iran.

Kematian itu menjadikan jumlah korban tentera Lubnan kepada lapan orang sejak perang habis-habisan meletus antara Israel dan Hezbollah pada bulan lalu.

Dalam satu panggilan dengan Gallant semalam, Austin "menyuarakan kebimbangannya yang mendalam mengenai laporan serangan terhadap angkatan bersenjata Lubnan", kata jurucakap Pentagon, Mejar Jeneral Pat Ryder dalam satu kenyataan.

Beliau menambah bahawa Austin "menekankan kepentingan mengambil semua langkah yang perlu untuk memastikan keselamatan angkatan bersenjata Lubnan dan pasukan Unifil," iaitu merujuk kepada pasukan pengaman PBB di Lubnan.

Unifil telah mendakwa Israel menyerang anggotanya beberapa kali dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Austin turut mengucapkan takziah kepada seorang komander briged Israel yang terkorban di utara Gaza, di mana tentera Israel telah terlibat dalam serangan besar-besaran yang menyasarkan Hamas.

Kolonel Ahsan Daksa terbunuh di kawasan Jabalia apabila bahan letupan meledak ketika dia meninggalkan kereta kebalnya, kata tentera Israel pada Ahad.- AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI