CHARLOTTE, 13 September- Donald Trump tidak akan mengambil bahagian dalam satu lagi debat dengan Kamala Harris ketika kedua-dua pesaing pilihan raya presiden Amerika Syarikat (AS) itu sedang berkempen di negeri-negeri penting dikenali sebagai "medan pertempuran."
Trump yang pernah menjadi Presiden AS mewakili Parti Republikan itu bertindak balas selepas perdebatan pertama tempoh hari yang disiarkan ABC News bersama Naib Presiden Demokrat yang mana Harris berjaya menekan Trump dengan serangan-serangan "tajam."
"Tidak akan ada debat ketiga!" tulis Trump di platform Truth Social miliknya hari ini merujuk perdebatan terdahulu dengan Joe Biden pada Jun lalu, yang menyebabkan Biden menarik diri daripada persaingan pilihan raya, manakala perdebatan terbaharu dengan Harris pada Selasa lepas.
Trump, 78, turut mendakwa "tinjauan menunjukkan saya jelas memenangi debat menentang Komrad Kamala Harris," meskipun beberapa tinjauan pantas menunjukkan Harris lebih unggul dalam perdebatan yang ditonton lebih daripada 67 juta rakyat Amerika.
Di sebuah perhimpunan di North Carolina, salah satu negeri medan pertempuran utama, Harris menegaskan bahawa mereka perlu berdebat lagi sebelum pilihan raya pada 5 November.
Namun tidak jelas sama ada beliau menyedari atau tidak kenyataan Trump terbabit.
"Dua malam lalu (Selasa) Trump dan saya berdebat buat pertama kalinya dan saya percaya kami berhutang kepada pengundi untuk mengadakan satu lagi perdebatan," kata Harris disambut sorakan penyokong di sini.
"Kerana pilihan raya ini dan apa yang dipertaruhkan sangat penting," tambah Harris yang kemudian berucap dalam satu lagi perhimpunan di Greensboro. -AFP
BERITA BERKAITAN