fb fb fb fb fb

Thailand pulangkan hampir 1,000 haiwan terancam ke Madagascar

Foto AFP

BANGKOK, 27 November- Thailand akan memulangkan hampir 1,000 haiwan liar yang terancam termasuk lemur dan kura-kura, ke habitat asal mereka di Madagascar.

Langkah itu merupakan operasi terbesar antara kedua-dua negara dalam usaha membanteras penyeludupan hidupan liar.

Pada Mei lalu, pihak berkuasa Thailand telah menemukan dan merampas 1,117 haiwan hidup dan mati di wilayah Chumphon.

Menurut Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, ia merupakan rampasan terbesar dalam sejarah negara tersebut.

Thailand terkenal sebagai hab transit utama bagi penyeludup hidupan liar yang menjual haiwan terancam bernilai tinggi di pasaran gelap, terutamanya di China, Vietnam dan Taiwan.

"Pemulangan 963 haiwan termasuk lemur ekor cincin, lemur coklat dan kura-kura jenis radiated dan labah-labah. Ia menandakan satu langkah besar dalam usaha membanteras jenayah ini.

“Buat pertama kali, hidupan liar dipulangkan sebelum proses perundangan selesai," ujar Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Thailand, Chalermchai Sri-on.

Lemur, yang hanya terdapat di pulau Madagascar, kini semakin terancam akibat perdagangan haram untuk dijadikan haiwan peliharaan.

Menurut Menteri Alam Sekitar Madagascar, Max Andonirina Fontaine, yang hadir di Thailand untuk menyelia proses pemulangan, haiwan-haiwan berkenaan akan ditempatkan di pusat pemulihan khas sebaik sahaja tiba di Madagascar.

Sementara itu, enam individu telah ditahan pada Mei atas dakwaan menyeludup haiwan terancam.

Menurut laporan media tempatan, mereka berdepan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sebanyak 1.5 juta baht (kira-kira RM205,000).

Empat spesies haiwan yang dipulangkan ini, iaitu lemur dan dua jenis kura-kura, telah disenaraikan sebagai hampir pupus atau terancam oleh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam (CITES).- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM