fb fb fb fb fb

Mpox: Thailand perkukuh langkah pemantauan dan kawalan

Foto AFP

BANGKOK, 30 Ogos- Thailand telah memperhebat langkah pemantauan dan kawalan bagi individu yang dijangkiti cacar monyet (mpox) untuk mencegah penularan lanjut penyakit itu.

Pihak berkuasa telah memperketat saringan di pintu masuk bagi pelancong yang berisiko tinggi dijangkiti mpox selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan wabak di Afrika sebagai kecemasan kesihatan awam.

Tindakan ini diambil susulan pengesahan kes mpox pertama di Thailand minggu lepas, yang dikenal pasti sebagai varian clade 1b virus itu.

Ini merupakan pengesanan kedua varian 1b di luar Afrika.

Jabatan Kawalan Penyakit Thailand berkata jabatan itu telah mempertingkat langkah pengawasan penyakit dan saringan di pusat kawalan penyakit berjangkit antarabangsa, khususnya untuk penerbangan dari Afrika yang menerima kira-kira 300 penumpang setiap hari.

"Doktor akan tersedia untuk memberikan rawatan kepada semua orang, dan ujian makmal boleh dijalankan di lapangan terbang," kata Ketua Pengarahnya Thongchai Keeratihattayakorn kepada pemberita pada Khamis (29 Ogos).

Thongchai berkata bahawa mpox kekal sebagai penyakit berjangkit yang perlu dipantau, memerlukan kerjasama daripada kontak rapat dan individu berisiko untuk mematuhi garis panduan tertentu selama 21 hari selepas pendedahan, sementara petugas kesihatan mesti mematuhi protokol pencegahan jangkitan dengan tegas.

WHO mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa pada 14 Ogos susulan penularan varian baharu yang lebih membawa mudarat di Afrika dan selanjutnya.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM