fb fb fb fb fb

Taufan Garance: Tiga maut di La Reunion, Perancis

Imej satelit oleh Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Colorado State University-CIRA (CSU/CIRA) pada Rabu lalu menunjukkan Taufan Garance sedang menghampiri wilayah seberang laut Perancis, pulau La RĂ©union/AFP

LA REUNION, 1 Mac- Taufan Garance melanda pulau La Reunion pada Jumaat, mengorbankan tiga nyawa dan menyebabkan kemusnahan besar di wilayah Lautan Hindi milik Perancis itu.

Ribut dengan kelajuan angin sehingga 230 kilometer sejam turut memaksa penutupan lapangan terbang utama di Mauritius.

Menurut pihak berkuasa, seorang wanita berusia 50-an dihanyutkan arus deras di Saint-Denis, manakala seorang lelaki maut dalam kebakaran elektrik di ibu kota itu.

Seorang lagi wanita terbunuh akibat tanah runtuh di Trois Bassins, di bahagian barat pulau tersebut.

Lima individu turut dilaporkan cedera.

Wakil kerajaan Perancis di La Reunion Patrice Latron memaklumkan amaran merah kekal berkuat kuasa sehingga pagi Sabtu.

Sehingga kini, lebih 180,000 kediaman terputus bekalan elektrik, lebih 170,000 penduduk tidak mendapat bekalan air, manakala 134,000 pengguna mengalami gangguan rangkaian telefon mudah alih.

Penduduk turut berkongsi imej kemusnahan di media sosial termasuk pokok tumbang, bumbung rumah tercabut, serta jalan dan kediaman yang ditenggelami air.

Latron menyifatkan Garance sebagai lebih dahsyat berbanding Taufan Belal yang mengorbankan empat nyawa di La Reunion pada Januari tahun lalu. -AFP

SITI AISHAH MD ISA