fb fb fb fb fb

Starbucks lapor keuntungan rendah, kejatuhan jualan

FOTO AFP

NEW YORK, 1 Mei- Starbucks semalam melaporkan keuntungan lebih rendah berikutan kejatuhan jualan susulan sentimen pengguna yang lemah dan keadaan 'lesu' di China.

Ketua Eksekutifnya, Laxman Narasimhan berkata, ia sememangnya tidak menepati jangkaan sambil menambah gelombang cuaca buruk di Amerika Syarikat (AS) menjadi salah satu pendorong kepada hasil pendapatan yang kurang memuaskan itu.

"Kami terus merasakan kesan berhati-hati daripada pelanggan juga prospek ekonomi yang merosot telah menjejaskan trafik pelanggan dan memberi kesan kepada jualan secara meluas di seluruh industri," katanya kepada penganalisis melalui panggilan video.

Secara keseluruhan, keuntungan suku berakhir pada awal Mac lalu adalah AS$772.4 juta, menurun sebanyak 15 peratus daripada tempoh sama tahun lalu, manakala pendapatan gergasi kopi itu menurun dua peratus kepada AS$8.6 bilion.

Hal sama turut berlaku di Amerika Utara dengan penurunan sebanyak tiga peratus, sementara di Cina menurun 11 peratus.

Bagaimanapun, Ketua Pegawai Kewangannya, Rachel Ruggeri berkata, syarikat itu mempunyai rancangan komprehensif untuk memperbaiki keadaan selepas suku sukar berkenaan.

Starbucks akan menggunakan teknologi perkhidmatan untuk memberi informasi lebih baik kepada pelanggan berkaitan status pesanan dalam talian.

"Di sinilah terletaknya peluang," kata Narasimhan yang berhasrat untuk menambah baik sistem komunikasi khususnya pada waktu pagi dan waktu sibuk.

Saham Starbucks merosot kira-kira 10 peratus dalam dagangan petang. -AFP

SITI AISHAH MD ISA