fb fb fb fb fb

Sri Lanka bebas 1,000 banduan sempena Krismas

FOTO HIASAN/AFP

COLOMBO, 25 Disember- Lebih 1,000 banduan di Sri Lanka dibebaskan dari penjara di seluruh negara sempena perayaan Krismas.

Pesuruhjaya Penjara, Gamini Dissanayake berkata, 1,004 daripadanya dibebaskan hari ini selepas Presiden Ranil Wickremesinghe memberikan pengampunan kepada mereka.

Mereka adalah warga tempatan yang dipenjara kerana tidak mampu membayar denda tertunggak.

Pengampunan itu dibuat selepas polis menahan hampir 15,000 orang semasa kempen antinarkotik yang disokong tentera selama seminggu dan dihentikan pada malam Krismas.

Polis Sri Lanka menerusi kenyataan memaklumkan, kira-kira 13,666 suspek telah ditangkap, manakala hampir 1,100 penagih dihantar untuk pemulihan wajib di kemudahan tentera.

Difahamkan, penjara-penjara di negara kepulauan tersebut sudah terlalu penuh dan sesak.

Sehingga Jumaat lalu, terdapat hampir 30,000 banduan di kemudahan yang mampu menampung 11,000 banduan, menurut data rasmi. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA