BUENOS AIRES, 12 Jun- Seorang lelaki dari Poland telah ditangkap di Buenos Aires pada Selasa, ketika dia cuba memanjat bangunan 30 tingkat tanpa tali.
Aksi lagak ngeri yang ditunjukkan individu bernama Marcin Banot, namun berjaya dihentikan menerusi bantuan anggota bomba.
Banot berpakaian jersi bola sepak Argentina, telah dipintas selepas memanjat 25 tingkat bangunan Globant ketika penonton berkumpul di bawah.
Lebih 30 anggota bomba, ambulans dan kereta polis dikejarkan ke tempat kejadian selepas seorang pekerja di dalam bangunan membuat panggilan kecemasan.
Semasa operasi, Banot bagaimanapun tidak menentang usaha anggota keselamatan untuk menghentikan tindakan berbahayanya itu.
"Sejurus tiba di bawah, Banot telah ditangkap dan berisiko untuk diperintah membayar kos bagi operasi menyelamat," kata seorang pegawai.
Lelaki berusia 36 tahun itu telah melakukan aksi serupa di negara lain dan mempunyai ratusan ribu pengikut di rangkaian media sosial.
Terdahulu, terdapat cubaan sama yang dilakukan Banot pada minggu lalu tetapi berjaya dihalang oleh polis.- AFP