BANDA ACEH, 26 Disember- Siren dibunyikan di sini, Indonesia, pagi ini sempena upacara memperingati lebih 220,000 mangsa yang terkorban dalam bencana tsunami yang melanda negara-negara sekitar Lautan Hindi 20 tahun lalu.
Majlis rasmi di Masjid Raya Baiturrahman di sini menjadi pembukaan kepada siri peringatan yang berlangsung di seluruh Asia dengan siren selama tiga minit dibunyikan tepat pada waktu gempa bumi besar berkekuatan 9.1 magnitud mencetuskan tsunami dahsyat pada 26 Disember 2004.
Bencana tersebut memusnahkan pantai lebih daripada 12 negara dengan Indonesia mencatatkan jumlah korban tertinggi iaitu lebih 160,000 orang.
Negara-negara lain yang terjejas termasuk Sri Lanka, India, Thailand, serta kawasan sejauh Somalia, Maldives, Malaysia dan Myanmar.
Sri Lanka yang kehilangan lebih 35,000 nyawa turut mengadakan upacara memperingati kira-kira 1,000 mangsa yang maut apabila ombak besar merempuh sebuah kereta api penumpang.
Di Thailand, lebih 5,000 kematian direkodkan -- separuh daripadanya melibatkan pelancong asing -- majlis rasmi dijangka diadakan dengan upacara memperingati oleh orang ramai.
Menurut EM-DAT, pangkalan data bencana global, hampir 300 orang terkorban di Somalia, lebih 100 di Maldives dan puluhan lagi di Malaysia serta Myanmar akibat tsunami tersebut. -AFP