fb fb fb fb fb

Sierra Leone isytihar perintah berkurung, demonstrasi ganas akibatkan tiga kematian

(Seorang penunjuk perasaan membaling tong gas semasa protes antikerajaan, di Freetown, Sierra Leone / AFP)

FREETOWN, 11 Ogos- Sierra Leone mengisytiharkan perintah berkurung di seluruh negara pada Rabu berikutan bantahan ganas dan siasatan penuh akan dijalankan.

Perintah berkurung diumumkan oleh Naib Presiden Mohamed Juldeh Jalloh menerusi stesen televisyen nasional, lapor Agensi Anadolu (AA).

Orang ramai telah turun ke jalanan sebelum ini untuk berdemonstrasi menentang kos sara hidup yang tinggi di negara yang mempunyai lebih 8 juta penduduk itu, yang menyaksikan defisit bajet telah meningkat daripada 5.6 peratus kepada 7.1 peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK), yang terjejas akibat perang Rusia dengan Ukraine.

Hutang awam negara juga telah meningkat daripada 74 peratus kepada 75 peratus daripada KDNK, menurut Bank Pembangunan Afrika.

"Demonstrasi ganas telah menyebabkan kematian rakyat Sierra Leone yang tidak bersalah, termasuk anggota keselamatan," kata Juldeh Jalloh, tanpa memberikan jumlah kematian.

Pada demonstrasi jalanan tersebut, dilaporkan dua anggota keselamatan dan seorang orang awam terbunuh.

Petugas kesihatan berkata, jumlah yang cedera juga begitu ramai.

Berpuluh-puluh anggota demonstrasi juga telah ditahan pihak berkuasa.

Di kejiranan Kissy di hujung timur bandar, penunjuk perasaan membaling batu dan kayu ke arah pasukan keselamatan, yang melepaskan gas pemedih mata ke arah mereka, seorang wartawan AFP melihat.

Beberapa penunjuk perasaan memberitahu AFP bahawa pasukan keselamatan juga telah melepaskan peluru hidup.

Penunjuk perasaan kedengaran melaungkan "Bio mesti pergi", merujuk kepada Presiden Julius Maada Bio, yang kini berada di United Kingdom untuk lawatan peribadi.

Sementara itu, Bio menyeru agar rakyat bertenang dan berjanji akan memulakan penyiasatan penuh terhadap kejadian itu.

"Sebagai kerajaan, kami mempunyai tanggungjawab untuk melindungi setiap warga Sierra Leone. Apa yang berlaku hari ini adalah malang dan akan disiasat sepenuhnya. Saya menggesa semua warga Sierra Leone supaya bertenang," katanya di Twitter.


(Orang ramai melarikan diri semasa protes antikerajaan, di Freetown, Sierra Leone / AFP)

Media Baharu