GAZA, 27 Mac- Serangan udara Israel yang menyasarkan Gaza tengah pada petang Rabu telah mengorbankan 16 rakyat Palestin dan mencederakan yang lain.
Memetik agensi berita Palestin WAFA, wartawan melaporkan bahawa jet Israel membedil kawasan sekitar Masjid Abdullah Azzam di kem pelarian, yang mengakibatkan enam orang awam terkorban manakala beberapa lagi cedera.
"Tentera penjajah (Israel) menyasarkan kawasan sekitar Masjid al-Qassam di kem pelarian tersebut, mengakibatkan lima kematian, selain beberapa lagi mangsa yang cedera.
"Serangan udara Israel turut menyasarkan khemah-khemah tempat perlindungan bagi orang yang terpaksa mengungsi di barat al-Zawaida di Gaza Tengah, yang mengorbankan dua orang awam.
"Seorang lagi awam terkorban manakala dua lagi cedera dalam serangan udara berhampiran persimpangan ash-Shuhada di Gaza tengah," lapor WAFA.
Israel mengakhiri perjanjian gencatan senjata Gaza dan menyambung serangannya ke atas Gaza pada 18 Mac, dengan melancarkan gelombang serangan udara berdarah di seluruh Gaza yang mengorbankan ratusan rakyat Palestin, termasuk lebih 100 kanak-kanak.
Jumlah korban kini mencapai 506 orang dengan 909 yang lain cedera, menurut sumber perubatan.
Pasukan kecemasan sedang berusaha untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap di bawah runtuhan.
Serangan itu disambung semula dalam suasana kebimbangan terhadap kemerosotan situasi kemanusiaan di Gaza, disebabkan oleh pengepungan yang berterusan dan larangan terhadap kemasukan bantuan perubatan dan kemanusiaan.
Israel telah melancarkan serangan tentera ke atas Gaza sejak Oktober 2023, mengorbankan 50,183 rakyat Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan 113,828 yang lain.
Selain itu, sekurang-kurangnya 10,000 orang tidak dapat dikesan, dipercayai terkorban di bawah runtuhan rumah mereka di seluruh Gaza.
Kekejaman Israel juga telah mengakibatkan pemindahan paksa hampir dua juta orang dari seluruh Gaza, dengan majoriti besar orang yang dipindahkan terpaksa berlindung di bandar selatan Rafah berdekatan dengan sempadan Mesir yang kini menjadi pengungsian terbesar Palestin sejak Nakba 1948.