fb fb fb fb fb

Serangan Oktober: AS dakwa enam pemimpin Hamas

Pemimpin Hamas, Yahya Sinwar/ REUTERS

WASHINGTON, 4 September- Amerika Syarikat (AS) mengumumkan tuduhan jenayah terhadap pemimpin tertinggi Hamas berhubung peranan mereka dalam merancang, menyokong dan melakukan serangan maut pada Oktober di selatan Israel.

Tuduhan dikenakan terhadap pemimpin kumpulan itu, Yahya Sinwar dan sekurang-kurangnya lima orang yang didakwa mendalangi serangan pada Oktober yang mengorbankan 1,200 orang, termasuk lebih 40 rakyat Amerika.

Serangan itu mencetuskan tindak balas berterusan Israel ke atas Gaza yang telah membunuh lebih 40,800 rakyat Palestin dan memusnahkan sebahagian besar wilayah itu.

"Seperti yang digariskan dalam laporan kami, defendan-defendan itu bersenjata, sokongan politik dan pembiayaan daripada Kerajaan Iran dan sokongan daripada (Hizbullah) telah menyokong usaha Hamas untuk memusnahkan Israel", kata Peguam Negara Merrick Garland dalam satu kenyataan.

Seramai enam defendan yang dinamakan dan tiga daripadanya telah meninggal dunia. Defendan yang masih hidup ialah Sinwar, yang dipercayai bersembunyi di Gaza, Khaled Meshaal, yang berpangkalan di Doha dan mengetuai pejabat diaspora kumpulan itu dan Ali Baraka, pegawai kanan Hamas yang berpangkalan di Lubnan.

Manakala, defendan yang telah meninggal dunia ialah bekas pemimpin Hamas Ismail Haniyeh, telah dibunuh pada Julai lalu di Tehran, Ketua Tentera Mohammed Deif, yang dikatakan terbunuh dalam serangan udara pada Julai dan Marwan Issa, Timbalan Komander tentera yang terbunuh dalam serangan pada Mac lalu.

Iran mendakwa Israel bertanggungjawab dalam kes pembunuhan Ismail Haniyeh. Bagaimanapun, Israel menafikan dakwaan tersebut.

Pendakwa raya Amerika Syarikat membentangkan tuduhan terhadap enam individu tersebut pada Februari, namun tidak menyebarkannya dengan harapan untuk menangkap Haniyeh terlebih dahulu, menurut seorang pegawai Jabatan Kehakiman.

Jabatan Kehakiman memutuskan untuk mendedahkan pertuduhan kepada umum selepas kematian Haniyeh. -REUTERS

ROSLINA BINTI DIN