fb fb fb fb fb

Sekurang-kurangnya empat maut dalam kejadian tanah runtuh di Cameroon

FOTO FAIL REUTERS

YOUNDAE, 6 November- Dua kejadian tanah runtuh telah mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan menimbus beberapa mangsa lain di dalam kenderaan mereka di bahagian barat Cameroon pada Selasa, menurut kenyataan oleh gabenor tempatan.

"Angka kematian sementara kini empat orang dan operasi pencarian masih diteruskan," kata Gabenor Wilayah Barat, Augustine Awa Fonka.

Tanah runtuh pertama berlaku pada awal pagi di jalan tebing Dschang, kawasan yang sering berlaku kemalangan dan terletak di kawasan pergunungan negara Afrika Tengah ini, jelas Awa Fonka kepada wartawan.

Kejadian telah menyebabkan laluan trafik terputus buat sementara waktu dan pasukan kecemasan membersihkan jalan tersebut menggunakan mesin pembinaan berat, menurut gabenor.

Tanah runtuh kedua yang berskala lebih besar berlaku semasa kerja-kerja pembersihan sedang dijalankan dan menimbus "tiga mesin berat yang terlibat dalam pembersihan", tiga bas dengan kira-kira 20 tempat duduk setiap satu, lima kenderaan enam tempat duduk, beberapa motosikal, pejalan kaki, serta penduduk tempatan, menurut kenyataan Awa Fonka.

Pihak berkuasa telah menyekat laluan trafik dan meminta penduduk setempat untuk menjauhi kawasan tersebut yang berisiko tinggi untuk berlakunya tanah runtuh.

Jalan raya di Cameroon terkenal dengan risiko tinggi, menyumbang hampir 3,000 kematian setiap tahun akibat kemalangan, atau lebih daripada 10 kematian bagi setiap 100,000 penduduk, menurut data terkini dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang diterbitkan pada tahun 2023.

Pada awal September, sebuah lori treler yang membawa penumpang terjatuh dari jalan tebing ke dalam gaung berhampiran bandar Dschang, mengorbankan lapan orang dan mencederakan 62 orang lain, termasuk lapan kanak-kanak.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE