KIEV, 3 Jun- Seorang terbunuh dan dua cedera dalam serangan roket Rusia di wilayah timur Ukraine Kharkiv, di mana tentera Moscow baru-baru ini menawan beberapa buah kampung.
Kharkiv bersempadan dengan Rusia dan telah diserang secara berterusan sejak Kremlin mengarahkan pencerobohannya pada 2022. Tentera Rusia melancarkan serangan darat baharu di sana bulan lepas.
Gabenor Oleg Synegubov berkata, Rusia menyasarkan kampung Slobozhanske, tenggara bandar utama wilayah itu, juga dipanggil Kharkiv, sekitar tengah malam waktu tempatan.
"Rumah rosak. Seorang lelaki maut. Seorang lagi lelaki dan seorang wanita cedera," kata Synegubov di media sosial.
Washington minggu lalu memberi kebenaran kepada Ukraine untuk menggunakan senjata yang dibekalkan Barat untuk menyerang beberapa sasaran tentera di wilayah Rusia sebagai sebahagian daripada usaha Kyiv dalam menangkis serangan ke atas Kharkiv.-AFP