KIEV, 23 Februari- Empat orang dilapor terkorban dan sembilan orang cedera dalam serangan semalaman dron dan peluru berpandu Rusia ke atas wilayah Ukraine di selatan dan timur negara itu.
Menurut pegawai pada Jumaat, serangan berkenaan telah merosakkan bangunan kediaman dan juga pusat komersial.
Pertahanan udara Ukraine telah menembak jatuh 23 daripada 31 dron yang dilancar Rusia di lima wilayah.
"Satu lagi malam yang sukar bagi rakyat Ukraine. Musuh melancarkan puluhan dron Shahed dan enam peluru berpandu di penempatan aman negara itu," kata Oleksiy Kuleba, timbalan ketua pejabat Presiden Volodymyr Zelenskiy.
Gabenor wilayah, Oleh Kiper berkata tiga orang terbunuh di pelabuhan Laut Hitam Odesa apabila dron Rusia melanggar kawasan komersial sekali gus menyebabkan kebakaran.
"Dalam serangan di wilayah Donetsk, satu orang awam terbunuh di bandar Myrnohrad dan 21 buah rumah, sebuah sekolah dan bangunan kediaman bertingkat telah musnah," tambah Kuleba.
Dalam catatan di Telegram, tentera di Selatan berkata mereka telah memintas sembilan dron di wilayah Odesa.
Tentera berkata peluru berpandu juga digunakan dalam serangan itu namun gagal mengenai sebarang sasaran.
Rusia telah memperhebat siri pengebomannya terhadap pelabuhan Ukraine termasuk Odesa dan infrastruktur bijirin dalam beberapa bulan kebelakangan ini, selepas Moscow menarik diri daripada Inisiatif Bijian Laut Hitam, perjanjian masa perang yang membolehkan eksport Ukraine memasuki banyak negara yang menghadapi ancaman kebuluran.
Sejak itu, Kiev telah menubuhkan koridor alternatif untuk menghantar bijirin dan produk lain melalui pelabuhan Laut Hitamnya berhampiran Odesa.
Di bandar Dnipro di tenggara, sebuah dron Rusia melanggar sebuah bangunan pangsapuri, mencederakan sekurang-kurangnya lapan orang dan merosakkan dua tingkat di bahagian atas.
Gabenor wilayah Dnipropetrovsk, Serhiy Lysak menulis di Telegram bahawa operasi pencarian mangsa berjalan sepanjang malam dengan kemungkinan mangsa serangan masih berada di bawah runtuhan.- REUTERS