fb fb fb fb fb

Putin tingkatkan keupayaan pasukan khas Rusia

Menteri Pertahanan Sergei Shoigu (kiri) dan Vladimir Putin dalam pameran senjata canggih/Foto fail REUTERS

RUSIA, 26 Februari- Presiden Rusia Vladimir Putin berjanji untuk meningkatkan mobiliti dan potensi pasukan operasi khas negara itu untuk menjadikan tenteranya lebih kuat.

"Kami akan terus memperkukuh Pasukan Gerakan Khas, meningkatkan mobiliti dan potensi serangan mereka, dan melengkapkan mereka dengan senjata dan peralatan generasi baharu," kata Putin dalam mesej video ucapan tahniah sempena Hari Pasukan Gerakan Khas pada 27 Februari di Rusia .

"Perkara ini adalah salah satu keutamaan untuk pembangunan jangka panjang tentera dan tentera laut."

Pasukan Gerakan Khas Rusia ialah pasukan persediaan tempur yang berperingkat strategik yang direka untuk melaksanakan tugas tertentu dan merupakan sebahagian daripada Angkatan Tentera Rusia.

Pasukan khas itu pernah terlibat dalam operasi rahsia di Syria dan sejak 2022 dalam pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, Putin menggelarnya sebagai "operasi ketenteraan khas." Kiev dan sekutunya melihatnya sebagai rampasan tanah imperialistik tanpa provokasi.

"Ucapan terima kasih kepada askar yang telah menyertai dalam operasi ketenteraan khas," kata Putin dalam video menerusi aplikasi Telegram.

"Di kawasan paling berbahaya, pasukan petugas barisan hadapan melaksanakan tugas yang diberikan dengan terhormat, bertindak dengan berani, cekap dan tegas."

Menurut berita RBC Rusia, negara itu menyambut Hari Pasukan Gerakan Khas pada 27 Februari sejak 2015, apabila Putin mengisytiharkan hari itu sebagai cuti umum berikutan ulang tahun pertama pasukan Rusia merampas bangunan kerajaan di Crimea, diikuti dengan pengilhakan semenanjung oleh Moscow.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI