LONDON, 1 April- Satu pusaran biru mempesona muncul di langit malam mencetuskan kehairanan dalam kalangan penduduk di beberapa kawasan di Eropah termasuk Croatia dan United Kingdom (UK).
Bagaimanapun, tidak lama selepas tular di media sosial, Pejabat Meteorologi UK (Met Office) menjelaskan fenomena itu berkemungkinan disebabkan sisa bahan api peringkat kedua roket SpaceX Falcon 9 yang membeku di atmosfera.
Apabila roket memasuki orbit, sebahagian bahan api dilepaskan boleh membeku dan tersebar, lalu membentuk corak cahaya unik yang dapat dilihat dari bumi.
Kejadian luar biasa itu dapat disaksikan dari pelbagai lokasi di UK dan Eropah dengan orang ramai berkongsi kekaguman mereka di media sosial.
Rakaman fenomena tersebut diambil oleh Christian Medica di Plaski, Croatia sekitar pukul 9.00 malam, 24 Mac lalu. -Reuters