BEIRUT, 23 Februari- Berpuluh-puluh ribu individu berkumpul di pinggir Beirut untuk memberi penghormatan kepada pemimpin Hizbullah yang terbunuh Hassan Nasrallah pada 27 September 2024 dalam serangan udara Israel.
Gambar bendera Nasrallah dan Hizbullah turut kelihatan dibawa penyokong untuk upacara pengebumian Nasrallah dan pemimpin kumpulan lain yang terbunuh di stadium di pinggir selatan Beirut.
Stadium Camille Chamoun Sports City mempunyai 55,000 tempat duduk hampir penuh beberapa jam sebelum majlis itu dimulakan.
Pengebumian itu juga diadakan untuk Hashem Safieddine, yang mengetuai Hizbullah selama seminggu selepas kematian Nasrallah.
Dia terbunuh dalam serangan Israel sebelum diumumkan secara terbuka sebagai pengganti Nasrallah.
Selepas kematiannya, Nasrallah dikebumikan buat sementara waktu di sebelah anaknya, Hadi, yang meninggal dunia berjuang untuk Hizbullah pada 1997.
Pengebumian rasminya ditangguhkan untuk memberi masa bagi pengunduran tentera Israel dari selatan Lubnan bawah syarat gencatan senjata yang disokong Amerika Syarikat (AS) tahun lalu.
Walaupun sebahagian besar tentera Israel telah berundur dari selatan, namun lima puncak bukit di kawasan itu masih ditakluk rejim Zionis. Tentera Israel melakukan serangan udara di selatan Lubnan pada Ahad dengan alasan ia mengenal pasti aktiviti Hizbullah.- Reuters