fb fb fb fb fb

Presiden Indonesia nafi spekulasi peletakan jawatan beberapa menteri

Presiden Indonesia, Joko Widodo (tengah) pada sambutan ulang tahun ke-78 Muslimat Nahdlatul Ulama, di sini.

JAKARTA, 20 Januari- Presiden Indonesia, Joko Widodo menafikan spekulasi beberapa menteri Kabinet meletak jawatan termasuk Menteri Kewangan, Sri Mulyani Indrawati.

Beliau berkata Kabinet Maju Indonesia masih meneruskan kerja seperti biasa.

“Setiap hari kita ada mesyuarat terhad dan dalaman dengan semua menteri atau sebahagian menteri," katanya dipetik agensi berita Antara selepas sambutan ulang tahun ke-78 Muslimat Nahdlatul Ulama di sini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Jokowi menjelaskan bahawa perkara seperti itu sengaja ditimbulkan di tengah musim kempen politik menjelang Pilihan Raya Umum (PEMILU) 2024 pada 14 Februari.

Pakar ekonomi kanan INDEF, Faisal Basri di forum politik dan ekonomi Sabtu lalu menyatakan seramai 15 menteri dari dalam kalangan teknokrat dan di luar parti politik berpotensi mengundurkan diri.

Beliau menganggap presiden terlalu memihak kepada pasangan calon presiden dan naib presiden, Prabowo Subianto-Gibran Rakabuming Raka. Gibran merupakan anak sulung Jokowi.

Mengulas ringkas perkara itu kepada media, Sri Mulyani yang ditemui selepas menghadiri mesyuarat dipengerusikan Jokowi pada Jumaat, berkata: “Ini saya kerja. Saya kerja.”

Sementara itu, isu “pemecatan” atau ‘impeachment’ terhadap Jokowi menjadi antara topik yang hangat diperdebatkan di forum politik dan media ketika ini.

Sejumlah tokoh masyarakat bergabung dalam sebuah gerakan, Petisi 100 bertemu dengan Menteri Politik, Hukum dan Keamanan Mahfud MD pada 9 Januari meminta agar Mahfud memecat Jokowi.

Di PEMILU 2024, rakyat Indonesia meraikan pesta demokrasi dengan memilih pemimpin seterusnya menggantikan Jokowi yang menamatkan penggal kedua dan terakhirnya pada Oktober.- BERNAMA

ZEHRA BINTI ZAMBRI