fb fb fb fb fb

Presiden Cameroon dalam keadaan sihat

Presiden Cameroon, Paul Biya/Foto REUTERS

YAOUNDE, 9 Oktober-Presiden Cameroon, Paul Biya yang berusia 91 tahun berada dalam sihat, kata jurucakap kerajaan Cameroon dalam satu kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu sekali gus menyangkal laporan yang mengatakan Biya berada dalam keadaan tenat.

Biya tidak lagi kelihatan di khalayak ramai sejak menghadiri forum China-Afrika di Beijing pada awal September.

Kegagalannya untuk muncul seperti yang dijadualkan pada sidang kemuncak di Perancis hujung minggu lalu mencetuskan spekulasi bahawa presiden berusia 90-an itu tidak sihat.

"Khabar angin pelbagai jenis telah tersebar melalui media konvensional dan rangkaian sosial tentang keadaan presiden," kata jurucakap kerajaan, Rene Sadi, dalam kenyataan tersebut.

"Kerajaan dengan tegas menyatakan bahawa khabar angin ini adalah khayalan semata-mata", katanya.

Parti pembangkang dan kumpulan masyarakat sivil telah meminta agar kerajaan mengemas kini tentang status kesihatan Biya dan keberadaannya yang tepat.

Selepas Beijing, Biya telah mengadakan lawatan peribadi ke Eropah.

"Ketua negara berada dalam keadaan sihat dan akan pulang ke Kamerun dalam beberapa hari akan datang",kata Saidi.

Tanpa pelan penggantian yang jelas, kematian Biya boleh membawa lebih banyak pergolakan politik di rantau Afrika yang telah menyaksikan lapan rampasan kuasa sejak 2020 dan beberapa cubaan tentera untuk menggulingkan kerajaan.

Cameroon antara pengeluar koko dan minyak terbesar di Afrika hanya mempunyai dua presiden sejak merdeka daripada Perancis dan Britain pada awal 1960-an dan sedang menghadapi perang saudara yang telah meragut ribuan nyawa serta pemberontakan ganas oleh Boko Haram di utara negara tersebut.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD