fb fb fb fb fb

Presiden Brazil janji untuk bina rumah mangsa terjejas banjir dan tanah runtuh

FOTO AFP

SAO PAULO, 21 Februari- Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva berjanji akan membantu usaha pembinaan semula rumah bagi mangsa banjir dan tanah runtuh di kawasan berisiko.

Kerajaan akan mengeluarkan rayuan bagi menghentikan pembinaan di kawasan rendah serta lereng bukit yang terdedah kepada bencana banjir di negara itu.

Penduduk juga diseru agar lebih berhati-hati untuk tidak membina rumah di kawasan kerap berlaku bencana seperti hujan dan tanah runtuh yang kini meragut banyak nyawa.

Sementara itu, Gabenor Tarcisio de Freitas, yang bertemu Presiden Lula turut mengisytiharkan keadaan kecemasan di lima bandar di sepanjang pantai dan mengeluarkan AS$1.5 juta dolar Amerika untuk operasi menyelamat.

Brazil dilanda siri bencana berkaitan cuaca dalam beberapa tahun kebelakangan ini yang menurut pakar, ia berkemungkinan bertambah buruk berikutan perubahan iklim.

Dianggarkan 9.5 juta daripada 215 juta penduduk Brazil tinggal di kawasan berisiko berlaku banjir atau tanah runtuh.


(FOTO AFP)

Angka kematian akibat hujan lebat di tenggara Brazil meningkat kepada 40 orang.

Pihak berkuasa Sao Paulo memaklumkan empat lagi mangsa terkorban pada Isnin selain 36 orang yang direkod sehari sebelumnya.

Angka korban dijangka terus meningkat setelah puluhan lagi mangsa dilapor masih hilang.

Pasukan penyelamat ketika ini sedang berusaha mencari mangsa yang terselamat di bawah runtuhan atau tertimbus dalam lumpur akibat hujan lebat.

Banjir dan tanah runtuh itu telah memusnahkan kawasan sekitar bandar pantai popular Sao Sebastiao.

Pihak berkuasa berkata hujan sebanyak 600 milimeter direkodkan di Sao Sebastiao dalam tempoh 24 jam iaitu lebih dua kali ganda daripada jumlah biasa sepanjang bulan Februari.- AFP

Media Baharu