fb fb fb fb fb

Polis pasang penghadang, tutup jalan menjelang pendakwaan Trump

(Polis New York mengawal kawasan sekitar Menara Trump/ AFP)

NEW YORK, 3 April- Polis New York memasang penghadang besi di sekitar Menara Trump dan membuat sekatan jalan berhampiran Mahkamah Jenayah Manhattan, sebagai langkah berdepan protes ketika Donald Trump dijangka menyerah diri kepada pendakwa raya, esok.

Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) itu dijangka didakwa selepas pertuduhan terhadapnya berhubung wang suapan yang dibayar kepada seorang pelakon filem lucah.

Sebelum membuat undian bagi memutuskan pendakwaan terhadap Trump, barisan juri dimaklumkan mengenai bukti berhubung bayaran berjumlah AS$130,000 kepada pelakon filem lucah, Stormy Daniels menjelang kempen pemilihan presiden AS pada 2016.

Daniels, atau nama sebenarnya Stephanie Clifford, mendakwa dia dibayar untuk menutup mulut mengenai hubungan seksualnya dengan Trump pada 2006. Trump menafikan hubungan seksual itu.

Trump dijangka berlepas ke New York dari Florida hari ini dan bermalam di Menara Trump, sebelum tiba di mahkamah esok, kata seorang penasihat Trump.

Beliau adalah bekas Presiden AS pertama yang bakal berdepan pertuduhan jenayah.


(Donald Trump/ REUTERS)

Sebelum ini, Trump menyifatkan siasatan itu sebagai pemburuan bermotifkan politik dan penyokong utamanya, termasuk ahli kongres Republikan, Marjorie Taylor Greene, menegaskan akan mengadakan protes di New York esok.

Beberapa bilik mahkamah akan ditutup di premis mahkamah itu menjelang kemunculan Trump, kata seorang pegawai mahkamah.

Jabatan Polis New York (NYPD) berkata, setakat ini tiada ancaman yang nyata terhadap bandar raya itu.

"Kami kekal bersedia untuk bertindak balas jika perlu dan akan memastikan semua pihak dapat menggunakan hak masing-masing secara aman," kata NYPD dalam satu kenyataan.

Kumpulan Perisikan SITE, badan bukan kerajaan yang memantau pelampau dalam talian mendakwa, beberapa pengguna media sosial pula sebelum ini menggesa pendakwa raya Manhattan, Alvin Bragg dan juri yang mengenakan pertuduhan ke atas Trump untuk dibunuh.

Selepas Trump mendakwa beliau menang pilihan raya sebelum ini, penyokongnya bertindak menyerbu bangunan Capitol AS pada 6 Januari 2021, yang mencetuskan insiden rusuhan berdarah.

Bagaimanapun, ramai penyokong Trump di dalam talian bersikap waspada terhadap tindakan tunjuk perasaan, termasuk selepas Trump menggesa mereka berbuat demikian kerana bimbang ditahan.

Kelab Republikan New York memaklumkan merancang mengadakan protes di sebuah taman di seberang mahkamah, dengan Greene yang juga seorang daripada penyokong tegar, mengesahkan akan hadir dalam tunjuk perasaan itu.

"Protes adalah hak dalam perlembagaan," kata Greene menerusi Twitter, yang menegaskan protes itu bagi menentang 'salah guna sistem keadilan AS dan campur tangan dalam pilihan raya.' - REUTERS

Media Baharu