fb fb fb fb fb

PM Thailand demam panas selepas pulang dari Kemboja

(Foto kiri) Paetongtarn Shinawatra di Istana Keamanan, Phnom Penh, Kemboja pada Rabu lalu/AFP. (Foto kanan) Perkongsian suami Shinawatra, Pidok Sooksawas menerusi Instagram Story/@pidok_s

BANGKOK, 25 April- Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra dimasukkan ke hospital selepas mengalami demam panas tidak lama selepas pulang daripada lawatan rasmi dua hari ke Kemboja, menurut jurucakap kerajaan hari ini.

Dalam lawatan itu, Paetongtarn telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet bagi membincangkan kerjasama rentas sempadan melibatkan isu penipuan dalam talian dan pencemaran udara.

Kedua-dua pemimpin turut berbincang mengenai peranan ASEAN sebagai platform rundingan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung isu tarif perdagangan.

"Selepas perdana menteri pulang ke tanah air, beliau mengalami demam panas dan mendapatkan rawatan. Doktor kemudian menasihati supaya beliau dimasukkan ke hospital untuk pemeriksaan lanjut," kata jurucakap kerajaan, Jirayu Huangsap dalam kenyataan.

Sehubungan itu, jadual rasmi perdana menteri pada hari tersebut ditangguhkan atau diserahkan kepada timbalan termasuk pertemuan yang dijadualkan bersama Ketua Pegawai Eksekutif e-dagang, Chris Feng serta bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Suami beliau, Pidok Sooksawas turut memuat naik gambar Paetongtarn sedang berehat di katil hospital menerusi Instagram Story dengan kapsyen: "Awak tak mahu dengar cakap orang. Tubuh badan awak sendiri dah beri amaran yang ia tak mampu tanggung lagi."

Lawatan rasmi perdana menteri ke Kemboja itu juga bersempena sambutan ulang tahun ke-75 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

SITI AISHAH MD ISA