NEW DELHI, 3 Jun- Seramai 642 juta orang keluar mengundi dalam pilihan raya umum India selama enam minggu yang baru berakhir.
Perkara itu dikongsi Ketua Pesuruhjaya Pilihan Raya, Rajiv Kumar kepada pemberita pada Isnin, dengan Perdana Menteri Narendra Modi dijangka memenangi penggal ketiga.
"Kami telah mencipta rekod dunia 642 juta pengundi India, ia adalah detik bersejarah bagi kita semua," kata Kumar sambil menambah hampir separuh daripada mereka iaitu 312 juta adalah pengundi wanita.
"Ia menunjukkan kuasa luar biasa pengundi India," katanya.
"Rakyat harus tahu tentang kekuatan demokrasi India."
Seramai 968 juta pengundi berdaftar di negara itu, namun hanya 66.3 peratus pengundi keluar mengundi, turun sedikit berbanding pilihan raya umum lepas pada 2019.
Kumar berkata bahawa "642 juta pengundi memilih tindakan berbanding sikap tidak peduli, kepercayaan berbanding sinis dan dalam beberapa kes, undi atas peluru", kata suruhanjaya itu.
Pilihan raya kali ini juga menyaksikan tiada insiden keganasan besar dilaporkan.
Undian dalam pusingan berperingkat ketujuh dan terakhir berakhir pada Sabtu, dengan pengiraan serta keputusan akan dibuat pada hari Selasa (esok).
Tinjauan awal menunjukkan Modi berada di landasan yang terbaik untuk menang, dengan perdana menteri itu berkata beliau yakin bahawa rakyat India telah mengundi untuk memilih semula kerajaannya.
India menggunakan mesin pengundian elektronik yang membolehkan pengiraan undi dilakukan dengan lebih cepat.
"Kami mempunyai proses pengiraan yang mantap," kata Kumar.-AFP