PARIS, 7 Februari- Perancis dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bersetuju pada Khamis untuk menandatangani perjanjian rangka kerja bagi pembinaan pusat data khusus berkonsepkan kecerdasan buatan (AI), berkapasiti 1 gigawatt.
Menurut kenyataan Istana Presiden Perancis, nilai pelaburan mencecah antara $30 bilion hingga $50 bilion.
Presiden Emmanuel Macron menerima kunjungan Presiden UAE, Sheikh Mohamed bin Zayed al-Nahyan pada Khamis malam, menjelang sidang kemuncak AI di Paris minggu depan.
Sidang itu akan dihadiri sekitar 100 buah negara, bertujuan meneroka potensi AI serta meletakkan Perancis dan Eropah dalam peta teknologi AI.
Ini sekali gus mampu menyaingi Amerika Syarikat dan China yang kini mendominasi sektor tersebut.
"Kedua-dua pemimpin menyatakan hasrat untuk membentuk perkongsian strategik dalam bidang AI dan komited meneroka kerjasama dalam projek serta pelaburan yang menyokong pembangunan rantaian nilai AI," menurut kenyataan bersama Perancis-UAE.
Pelaburan melibatkan pembangunan AI di kedua-dua negara, pemerolehan cip berteknologi tinggi, pembinaan pusat data, pembangunan bakat serta penubuhan 'kedutaan data maya' bagi membangunkan infrastruktur AI dan awan di Perancis dan UAE.
Pengumuman rasmi mengenai pelaburan pertama dijangka dibuat dalam sidang kemuncak 'Choose France' yang akan berlangsung akhir tahun ini.
Sementara itu, kerajaan Perancis pada Khamis turut mengumumkan bahawa 35 lokasi telah dikenal pasti untuk menempatkan pusat data AI di seluruh negara.- REUTERS