PALESTIN, 3 Julai - Anak lelaki Wafaa Elwan berusia lima tahun tidak boleh tidur di dalam khemah di mana dia dan tujuh anaknya berteduh.
"Anak saya tidak boleh tidur sepanjang malam kerana dia tidak boleh berhenti menggaru badannya," kata Elwan.
Anak lelakinya itu mempunyai bintik-bintik putih dan merah di kaki dan badannya.
Dia merupakan salah seorang daripada ribuan penduduk Gaza yang mengalami jangkitan kulit dari kudis hingga cacar air, kutu, impetigo dan ruam.
Lebih 150,000 orang di wilayah Palestin telah dijangkiti penyakit kulit sejak perang Israel-Hamas meletus pada 7 Oktober, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"Kami tidur di atas tanah, di atas pasir tempat cacing keluar di bawah kami," kata Elwan.
Keluarganya merupakan satu daripada beribu-ribu yang tinggal di kawasan berpasir berhampiran laut dekat dengan bandar Gaza tengah Deir al-Balah.
“Kami tidak boleh memandikan anak-anak kami seperti sebelum ini. Tiada produk kebersihan untuk kami mencuci dan membersihkan tempat tersebut.
"Ibu bapa pernah menyuruh anak-anak mereka untuk mencuci di Mediterranean, namun pencemaran yang berlaku akibat peperangan telah menghancurkan kemudahan asas sekaligus meningkatkan risiko penyakit.
”Laut adalah kumbahan. Mereka juga membuang sampah dan tuala bayi ke laut,” katanya.
WHO melaporkan 96,417 kes kudis dan kutu sejak permulaan perang di Gaza, 9,274 kes cacar air, 60,130 kes ruam kulit dan 10,038 kes impetigo.
Kudis dan cacar air terlalu cepat merebak di wilayah pantai Palestin, menurut Sami Hamid, seorang ahli farmasi yang menjalankan klinik sementara di kem Deir al-Balah.-AFP