fb fb fb fb fb

Penutupan pintu sempadan, ribuan warga Pakistan terkandas

FOTO VIORY

CHAMAN, 13 November - Ribuan warga Pakistan, termasuk pemandu lori, dilaporkan masih terkandas di beberapa pintu sempadan utama dengan Afghanistan yang ditutup sejak beberapa minggu lalu berikutan ketegangan antara kedua-dua negara.

Rakaman dari Chaman, sempadan Pakistan, menunjukkan orang ramai, termasuk lelaki, wanita dan kanak-kanak, berkumpul berhampiran pintu pagar yang ditutup, sementara ratusan lori dan bas dilihat tersadai sejauh beberapa kilometer.

Seorang pemandu lori dari Pakistan, Malang berkata beliau menghadapi kesukaran untuk melalui kawasan itu sambil membawa barangan bernilai jutaan rupee.

“Barangan bernilai jutaan rupee berada dalam kenderaan ini. Kami menghadapi kesukaran yang teruk dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya di sini.

Seorang lagi pemandu, Habibullah, berkata mereka telah terkandas di sempadan Chaman selama sebulan, selain menggambarkan keadaan di kawasan itu “seperti zon perang” dengan orang ramai kelihatan gelisah dan bingung.

Kedua-dua pemandu itu merayu agar kerajaan Pakistan dan Afghanistan segera membuka semula sempadan bagi mengelakkan kerugian besar, terutama akibat barangan mudah rosak yang terbiar dalam lori.

Menurut laporan, pegawai dari kedua-dua negara mengadakan rundingan di Istanbul pada Khamis, namun jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid, memaklumkan melalui platform X pada Ahad bahawa “kurangnya kerjasama daripada delegasi Pakistan menggagalkan kesimpulan mesyuarat itu”.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, mengesahkan pada Jumaat bahawa rundingan damai berkenaan gagal, namun menegaskan gencatan senjata akan dikekalkan “selagi tiada serangan dilancarkan dari wilayah Afghanistan”.

Kedua-dua pihak sebelum ini menandatangani perjanjian gencatan senjata di Doha pada 19 Oktober susulan insiden tembakan rentas sempadan, namun penutupan sempadan serta saling tuduh antara kedua-dua negara kini kembali meningkatkan ketegangan dan menjejaskan laluan perdagangan penting, sekali gus menyebabkan ribuan orang terus terperangkap. -VIORY

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM