fb fb fb fb fb

Penerbangan Alaska Airlines lakukan pendaratan cemas selepas isu tekanan

Pesawat itu selamat mendarat kembali di Lapangan Terbang Antarabangsa Portland dengan 171 penumpang dan enam anak kapal./ Foto fail: AFP

WASHINGTON, 6 Januari- Pesawat Alaska Airlines yang membawa 177 penumpang termasuk anak kapal terpaksa melakukan pendaratan cemas di Oregon, Amerika Syarikat (AS) semalam, menurut syarikat penerbangan itu,

Ia selepas menerima aduan daripada penumpang mengenai panel tingkat pesawat berkenaan tercabut selepas pesawat berlepas dari lapangan terbang.

Penerbangan 1282 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Portland sekitar pukul 5 petang, sebelum ia mendarat semula dalam keadaan selamat.

Ia selepas anak kapal melaporkan berlaku isu tekanan membabitkan pesawat berkenaan, demikian penjelasan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) di platform media sosial X.

Terdapat imej yang dikongsikan di media sosial memaparkan panel tingkat pesawat diterbangkan, dengan topeng oksigen kecemasan tergantung di siling pesawat berkenaan.

Salah seorang penumpang, Kyle Rinker, ketika ditemubual CNN berkata tingkap pesawat itu tercabut tidak lama selepas berlepas.

Seorang lagi penumpang, Vi Nguyen, memberitahun The New York Times, dia terkejut mendengar bunyi kuat semasa penerbangan.

"Saya buka mata dan benda pertama saya lihat adalah topeng oksigen betul-betul di hadapan saya. Saya lihat kira dan kanan, dinding sebelah pesawat telah hilang. Perkara pertama saya fikir ialah, saya akan mati," katanya.

Sehubungan itu, FAA dan syarikat Alaska Airlines memaklumkan mereka sedang menyiasat insiden itu.

"Pesawat itu selamat mendarat kembali di Lapangan Terbang Antarabangsa Portland dengan 171 penumpang dan enam anak kapal.

"Walaupun kejadian ini jarang berlaku, namun kru penerbangan kami terlatih dan bersedia menguruskan keadaan dengan selamat," kata syarikat berkenaan.

Pesawat Boeing 737 Max 9 itu berlepas pada 5:07 petang, menuju ke Ontario, California, sebelum kembali ke lapangan terbang kira-kira 20 minit kemudian, menurut laman web pengesanan penerbangan FlightAware.

Menurut laman web pendaftaran FAA, pesawat itu disahkan layak terbang pada Oktober.

Menerusi catatan di platform X, syarikat Boeing berkata pihaknya sedang mengumpul lebih banyak maklumat dan pasukan teknikalnya bersedia untuk membantu siasatan. - AFP

ZEHRA BINTI ZAMBRI