fb fb fb fb fb

Penduduk Gaza harap rundingan damai akhiri penderitaan

Penduduk Gaza termasuk kanak-kanak berkumpul di satu kawasan untuk mengisi air / REUTERS

NUSEIRAT, 7 Oktober -Memasuki tahun kedua serangan kejam Israel ke atas Gaza, penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal masih menaruh harapan agar rundingan baharu dapat menamatkan penderitaan mereka.

Mohammed Dib, 49 tahun, yang kini tinggal di khemah pelarian di sini berkata, rakyat Gaza sudah terlalu lama hidup dalam ketakutan dan kesengsaraan.

“Hari ini 7 Oktober. Sudah dua tahun kami hidup dalam ketakutan, kehancuran dan penderitaan.

Kami berharap rundingan yang sedang berlangsung ini membawa kepada gencatan senjata dan menamatkan kekejaman. Kami benar-benar letih,” katanya sambil membawa bekas air kosong untuk diisi.

Bagi Shireen Dawaba, 45 tahun, setiap hari yang berlalu hanya menambah derita buat keluarganya yang sudah berpindah lebih 10 kali akibat serangan tanpa henti.

“Kami hanya mahu pulang ke rumah, hidup dengan anak-anak seperti orang lain. Anak-anak kami sudah dua tahun tidak bersekolah.

Kami berharap rancangan baharu ini dapat hentikan perang, hentikan kelaparan dan hentikan penderitaan anak-anak,” luahnya ketika sedang menguli doh di hadapan khemah.

Seorang lagi penduduk, Abdul Rahman Saleh, 39 tahun, menyifatkan hidup di Gaza kini ibarat menanti maut setiap masa.

“Setiap hari ada kebuluran, kemusnahan dan kematian. Kami mati setiap saat — diserang dari udara dan darat, dalam kesejukan, dalam khemah yang koyak. Kami hanya berharap keamanan kembali,” katanya dengan wajah sayu.

Penduduk di seluruh Gaza kini hidup berpindah-randah dalam khemah sementara di tengah-tengah kemusnahan.

Ia dipertikan lagi dengan bekalan makanan dan air yang semakin berkurangan.

Namun, di sebalik semua penderitaan, mereka masih menggenggam satu harapan, iaitu damai yang benar-benar kekal. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN