fb fb fb fb fb

Pendaki India maut selepas tawan puncak Everest

Foto fail AFP

KATHMANDU, 16 Mei– Seorang pendaki India maut selepas berjaya menawan puncak Gunung Everest dan merupakan kes kematian kedua dalam musim pendakian tahun ini di gunung tertinggi dunia tersebut.

Mangsa, Subrata Ghosh, 45, dilaporkan menawan puncak setinggi 8,849 meter itu pada Khamis, namun meninggal dunia kira-kira 50 meter di bawah puncak ketika dalam perjalanan turun.

Menurut Bodha Raj Bhandari daripada agensi Snowy Horizon Treks and Expedition, Ghosh dipercayai mengalami keletihan melampau dan menunjukkan tanda-tanda penyakit akibat ketinggian.

"Kami sedang menunggu maklumat lanjut daripada pemandunya yang masih dalam perjalanan turun," katanya.

Ghosh berasal dari negeri Bengal Barat, yang terletak bersempadan dengan Bangladesh.

Kawasan yang melebihi altitud 8,000 meter dikenali sebagai 'zon maut' kerana kandungan oksigen yang rendah meningkatkan risiko penyakit altitud tinggi.

Terdahulu, seorang lagi pendaki dari Filipina yang berada dalam pasukan yang sama turut meninggal dunia pada Rabu ketika cuba menawan puncak.

Sejak laluan pendakian dibuka minggu lalu, lebih 50 pendaki berjaya sampai ke puncak.

Nepal mempunyai lapan daripada sepuluh puncak tertinggi dunia dan menarik ratusan pendaki setiap musim bunga, ketika suhu lebih panas dan angin biasanya lebih tenang.

Tahun lalu, lebih 800 pendaki berjaya menawan puncak Everest, termasuk 74 dari bahagian utara Tibet. Lapan kematian direkodkan, melibatkan pendaki dari Nepal, Mongolia, Kenya, United Kingdom dan India.-AFP

ROSLINA BINTI DIN