fb fb fb fb fb

PBB sokong pelan AS untuk Gaza, seru pelaksaan segera

BAITULMAQDIS 18 November- Resolusi damai yang digubal Amerika Syarikat bagi menghentikan perang di Gaza mendapat kelulusan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Sebanyak 13 undian menyokong diterima tanpa sebarang undian menentang, manakala Rusia dan China memilih untuk berkecuali tanpa menggunakan kuasa veto mereka sebagai ahli tetap.

Pelan berkenaan dicadangkan Trump bagi membolehkan gencatan senjata rapuh antara Israel dan Hamas bertahan sejak 10 Oktober.

Pelan damai tersebut dengan ketara membenarkan penubuhan satu pasukan antarabangsa yang akan bekerjasama dengan Israel, Mesir, serta pasukan polis Palestin yang telah dilatih semula bagi membantu mengamankan kawasan sempadan Gaza.

Kementerian Luar Palestin dalam reaksinya pula menyatakan undian yang dijalankan PBB itu mengesahkan hak rakyat Palestin untuk menubuhkan negara mereka yang merdeka selain memastikan kelancaran bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Kenyataan itu turut menyeru agar resolusi berkenaan dapat dilaksana dengan segera di lapangan.

Tambahnya, resolusi berkenaan mengukuhkan lagi pelan damai dicadang Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bertujuan menghentikan perang di wilayah Palestin yang musnah itu.

Kementerian itu turut menolak penempatan pasukan antarabangsa di Gaza serta mendesak pengunduran sepenuhnya Zionis agar pelan pembinaan semula wilayah Palestin yang musnah itu dapat dilaksana tanpa sebarang pertikaian dan campur tangan.-AFP

SITI NOORAIN ABDULLAH