GENEVA, 11 April - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan, hasil analisis terhadap 36 serangan terbaharu tentera Israel di Gaza mendapati kesemua mangsa yang terkorban terdiri daripada wanita dan kanak-kanak.
Jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB, Ravina Shamdasani berkata, serangan antara 18 Mac hingga 9 April itu turut memusnahkan kawasan kediaman serta khemah penempatan sementara mangsa pelarian Palestin.
"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 224 serangan udara dilancarkan ke atas kediaman dan khemah pelarian. Daripada 36 serangan yang berjaya disahkan, semua mangsa yang terkorban hanyalah wanita dan kanak-kanak," katanya dalam sidang media di Geneva.
Shamdasani turut merujuk serangan pada 6 April di kediaman keluarga Abu Issa di Deir al-Balah yang mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan, empat wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun.
Beliau turut mengkritik tindakan Israel yang mengarahkan penduduk Palestin berpindah ke kawasan Al Mawasi di Khan Younis, namun kawasan itu juga tetap diserang.
"Sejak 18 Mac, sekurang-kurangnya 23 serangan direkodkan di khemah-khemah pelarian di kawasan itu," katanya.
Shamdasani berkata, tindakan Israel merampas kawasan tertentu di Gaza dan menambahkannya ke dalam zon keselamatan mereka menyebabkan wilayah itu semakin kecil dan terasing.
"Tindakan mengusir penduduk Palestin secara berterusan dari tanah mereka sendiri ini adalah satu bentuk pemindahan paksa dan melanggar Konvensyen Geneva Keempat serta merupakan jenayah terhadap kemanusiaan," tegasnya - AFP