fb fb fb fb fb

PBB beri amaran risiko kebuluran di Gaza akan berlarutan

Foto AFP

SEMENANJUNG GAZA, 22 Disember - Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran perang Israel-Hamas sedang mendorong Gaza ke arah kebuluran, menjelang undian Majlis Keselamatan yang dijangkakan pada Jumaat mengenai resolusi untuk meningkatkan bantuan kepada wilayah Palestin namun tidak menggesa kepada gencatan senjata.

Usaha diplomatik yang berasingan juga sedang dijalankan untuk pemberhentian baru dalam perang yang paling teruk itu.

Dengan keadaan yang semakin merosot di wilayah itu, Majlis Keselamatan PBB telah mencapai kata sepakat dalam rundingan mengenai resolusi yang akan meningkatkan penyampaian bantuan.

Draf terbaharu yang dilihat oleh AFP, yang akan menghadapi undian pada Jumaat, menyeru "langkah segera untuk membenarkan akses kemanusiaan yang selamat dan tanpa halangan dan juga untuk mewujudkan syarat untuk pemberhentian permusuhan yang efektif,".

Seluruh penduduk Gaza berdepan "risiko kebuluran yang akan berlaku", menurut sistem pemantauan kebuluran global yang disokong PBB pada Khamis, dengan lebih setengah juta orang menghadapi "keadaan malapetaka."

"Kami telah memberi amaran selama berminggu-minggu bahawa, dengan kekurangan dan kemusnahan sedemikian, setiap hari yang berlalu hanya akan membawa lebih banyak kelaparan, penyakit dan keputusasaan kepada penduduk Gaza," kata ketua kemanusiaan PBB, Martin Griffiths di X.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN